7 Cara Membeli Rumah Tanpa Perlu Sediakan Deposit

Pendahuluan

Selepas saya terlibat dengan banyak ativiti pemasaran projek-projek perumahan terutamanya yang Jenis Mampu Milik seperti projek perumahan Azalea Perdana tepi kampus UiTM Machang dan Tanah Al-Hamra projek berhampiran dengan tapak MRSM Tanah Merah membuatkan saya bertemu dengan ramai prospek dari pelbagai jenis latarbelakang seperti:

  • Kakitangan kerajaan
  • Kakitangan korporat
  • Pekerja swasta
  • Bekerja sendiri
  • Dan lain-lain

Kepelbagaian latarbelakang prospek ini memerlukan berbagai produk pinjaman perumahan yang bersesuaian dengan keperluan mereka dan keperluan yang paling mereka perlukan adalah pinjaman perumahan 100% kerana kebanyakan prospek sukar untuk mengumpulkan sejumlah wang yang banyak untuk tujuan pembayaran deposit membeli rumah.

Pembayaran deposit pembelian rumah adalah perlu apabila pembelinya tidak mendapat pinjaman perumahan 100% seperti kebiasaan yang kita dengar apabila pembeli memohon pinjaman bank yang mendapat margin pinjaman mungkin 90%, 85%, 80% atau hanya 70%.

Maka baki yang selebihnya perlu disediakan oleh pembeli untuk dibayar kepada pemilik asal rumah atau pemaju perumahan yang dipanggil deposit pembelian rumah.

Setelah membuat banyak semakan dan maklumbalas daripada pelbagai pihak yang berkecimpung dalam aktiviti penjualan, menguruskan proses penjualan, mengurus proses pinjaman perumahan dan banyak lagi, maka Alhamdulillah dapat la saya kongsi disini 7 cara membeli rumah dengan 0 Deposit :

 

  1. Pinjaman Perumahan Kerajaan

Pinjaman Perumahan Kerajaan untuk kakitangan kerajaan merupakan skim pinjaman perumahan yang biasa diketahui umum. Pinjaman Perumahan Kerajaan memberi pinjaman 100% kepada pemohon yang layak.

Apabila pembeli mendapat pinjaman perumahan 100% maka tidak perlu la mereka menyediakan deposit pembelian rumah lagikan.

 

  1. Pinjaman Perumahan Kakitangan Agensi Korporat

Badan korporat seperti TNB, Telekom Malaysia, KWSP, Bank-bank dan yang seumpama mempunyai dana untuk membiayai pinjaman perumahan kakitangan mereka yang layak.

Pinjaman yang diberikan juga adalah 100%. Jadi jika anda kakitangan badan-badan korporat ini sila-sila la semak dengan jabatan yang berkaitan samada anda layak memohon ya.

 

  1. Pinjaman Perumahan SRP (Skim Rumah Pertamaku)

Skim pinjaman SRP atau Skim Rumah Pertamaku sebenarnya selalu disebut dalam media sosial namun ramai yang tidak mengambil perhatian sehingga apabila mereka memerlukanya mereka tidak tahu akan kewujudan skim ini.

SRP memberi pinjaman 100% membeli rumah pertama kepada pemohon yang berpendapatan maksimum RM5,000/- kebawah atau maksimum RM10,000/- bagi pasangan suami isteri.

Jadi jika anda mempunyai kelayakan untuk membeli rumah pertama namun anda bukan kakitangan kerajaan, badan-badan korporat dan mempunyai masalah untuk menyediakan deposit pembelian rumah maka boleh lah mohon pinjaman ini.

 

  1. Pinjaman Perumahan SJKP (Skim Jaminan Kredit Perumahan)

Kepada prospek membeli rumah yang bekerja sendiri atau peniaga/penjaja kecil-kecilan anda sebenarnya juga layak memohon pinjaman 100% membeli rumah jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dibawah Skim Jaminan Kredit Perumahan atau SJKP ini.

Manakala antara syarat rumah yang ingin dibeli adalah had RM300,000/- dan ke bawah serta tertakluk kepada penilaian oleh penilai hartanah berdaftar.

 

  1. Rebat pembelian rumah

Ada sesetengah pemaju perumahan menawarkan rebat pembelian 10%-15% daripada harga rumah yang dijual dalam pakej penjualan mereka. Jika pembeli Berjaya mendapat margin pinjaman 90% sedangkan dalam masa yang sama rumah yang dibelinya menawarkan rebat 10% maka mereka tidak lagi perlu membayar deposit pembelian rumah atau bermaksud mereka hanya membayar 0 Deposit.

Para prospek sila la perhati pakej promosi jualan oleh pihak pemaju perumahan jika ingin membeli rumah anda dengan 0 Deposit.

 

  1. Mark-up Harga & Pembiayaan

Membuat mark-up harga atau membuat perjanjian jual beli rumah dengan harga yang lebih tinggi daripada harga yang sebenar dibeli merupakan kaedah yang sangat biasa dibuat jika pembeli ingin mendapat pinjaman perumahan 100% dan tak perlu membayar deposit pembelian.

Sebagai contoh harga sebenar rumah yang dibeli adalah RM90,000/-, perjanjian jual beli pula dibuat RM100,000/-. Apabila pembeli mendapat margin pinjaman 90% daripada harga RM100,000/- jadi pinjaman yang diperolehi bersamaan RM90,000/- iaitu sama dengan harga sebenar pembelian. Oleh sebab itu pembeli tidak perlu lagi membayar deposit pembelian.

Nasihat saya yang mempunyai pengalaman sebagai penilai hartanah, kaedah ini boleh dibuat jika harga jualan sebenar dibawah harga pasaran semasa dan harga mark-up tersebut biar la sekadar untuk tujuan tersebut sahaja bukannya untuk mendapat lebih lagi.

 

  1. Pengeluaran simpanan dari Akaun 2 KWSP

Ha ha… untuk kaedah ini sebenarnya bukan lah dibawah mana-mana skim pinjaman perumahan, namun sekadar memaklumkan kepada prospek membeli rumah jika mereka tidak mempunyai simpanan tunai yang secukupnya untuk membayar deposit membeli rumah. Dalam masa yang sama mereka mempunyai simpanan KWSP yang belum pernah dikeluarkan.

Anda sebenarnya boleh mengeluarkan sejumlah simpanan KWSP anda dari akaun 2 untuk tujuan membayar deposit membeli rumah.

Peringatan ini khas untuk mereka yang benar-benar tidak tahu tentang kemudahan ini dan saya pernah menemui pembeli hartanah yang seperti ini.

Untuk memproses pengeluaran ini perlu memenuhi syarat-syarat serta dokumen-dokumen yang secukupnya.

 

Kesimpulan :

Semoga pendedahan ringkas ini dapat memberi sedikit panduan kepada yang anda yang sedang memikirkan cara untuk membiayai pembelian rumah yang anda impikan.

Untuk bantuan dan maklumat lanjut anda boleh berhubung terus dengan saya melalui :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *